Sempena menyambut hari pekerja yang jatuh pada 1hb Mei setiap tahun, satu majlis tazkirah untuk kakitangan Majlis Daerah Ketereh telah diadakan pada 4hb Mei 2009 jam 8.00 pagi bertempat di Dewan Majlis Daerah Ketereh.Tazkirah ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Al-Fadhil Ustaz Wan Mohd Sharafi Bin Wan Wustapha Rushdi, Penolong Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Kemasyarakatan, Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam.
Antara intipati ceramah beliau, Al-Fadhil Ustaz menekankan pentingnya setiap kakitangan Majlis Daerah Ketereh melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan berlandaskan 3 dasar yang utama iaitu Ubudiah, Mas’Uliah dan Itqamah selari dengan dasar pentadbiran kerajaan negeri iaitu Membangun Bersama Islam. Selain daripada itu, setiap kakitangan haruslah mengamalkan konsep Amal Makruf Nahi Mungkar setiap masa bagi menjaga imej dan maruah Majlis Daerah Ketereh.
Di majlis yang sama juga, Setiausaha Majlis Daerah Ketereh yang baru, Tuan Haji Mohd Naim Bin Ali turut menyampaikan amanat-amanat beliau kepada kakitangan-kakitangan Majlis Daerah Ketereh. Antara amanat-amanat yang disampaikan oleh beliau ialah setiap kakitangan Majlis Daerah Ketereh hendaklah mengenalpasti perkhidmatan-perkhidmatan utama untuk diberikan kepada masyarakat setempat.
Selain daripada itu, beliau juga menekankan aspek kebersihan di setiap kawasan Majlis Daerah Ketereh hendaklah ditingkatkan dan dijaga selaras dengan perancangan Majlis Daerah Ketereh sebagai Perbandaran Islam 2010. Setiap kakitangan Majlis Daerah Ketereh juga haruslah mulia dengan setiap tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan. Majlis berakhir jam 9.00 pagi.