Penubuhan Majlis Daerah Ketereh Majlis Daerah Ketereh (MDK) ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Januari 1979 bersamaan 2 Safar 1399H dengan nama Majlis Daerah Kota Bharu (MDKB) hasil penyusunan semula Penguasa-Penguasa Tempatan di Kelantan dibawah Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan. Nama Majlis Daerah Kota Bharu ditukar kepada Majlis Daerah Ketereh pada 31 Januari 2006 bersamaan 1 Muharam 1427H.
Kawasan dan Keluasan Majlis Daerah Ketereh merangkumi kawasan seluas 155.90 km persegi yang meliputi kawasan-kawasan keseluruhan Daerah Ketereh, Daerah Peringat, Daerah Kadok, Mukim Salor(Daerah Salor), Mukim Pendek(Daerah Pendek) dan Mukim Badak Mati(Daerah Banggu). Pada 9 September 2004, pewartaan kawasan baru seluas 49.04 km persegi yang merangkumi seluruh Daerah Beta, Daerah Salor, Mukim Lembu dan sebahagian Mukim Tiong(dalam Daerah Pendek) telah diluluskan dan menjadikan jumlah keluasan terbaru ialah seluas 204.94 km persegi. Pusat pentadbiran Majlis Daerah Ketereh terletak di Pekan Ketereh iaitu 20 km ke selatan daripada pusat Bandar Kota Bharu.