- Nama asal Cik Wan Kembang
- Kematian ayah sejak usia empat tahun
- Raja Kelantan ke enam dari keturunan Sultan Iskandar Shah
- Menjadi raja dalam usia 30 tahun pada 1610
- Pusat pemerintahan,Gunung Chinta Wangsa dan Kota Tegayong
- Tidak berkahwin dan menjadikan Puteri Saadong sebagai anak angkatnya
- Binatang kesayangan adalah kijang dan menjadikan binatang itu sebagai lambang negeri
- Memerintah Kelantan selama 67 tahun
RAMAI pasti terpinga-pinga atau menggelengkan kepala jika ditanya siapakah Cik Wan Kembang. Namun bila disebut Cik Siti Wan Kembang, orang pasti mengaitkan nama wanita itu dengan Kelantan hingga menjadi antara nama timangan negeri berkenaan yang turut bergelar Serambi Makkah.Berdasarkan catatan sejarah, nama sebenar raja keenam memerintah Kelantan dari keturunan Iskandar Shah itu ialah Cik Wan Kembang, yang diberikan ayahandanya, Sultan Ahmad.
Berdasarkan buku ringkasan cerita Kelantan, karangan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja, gelaran "Siti" diberikan seorang pedagang Arab yang membahasakan Cik Wan Kembang dengan "Siti". Ketika mengadap dan berbual dengan Cik Wan Kembang, orang Arab itu membahasakan beliau dengan "Siti" dan panggilan "Siti" itu didengar beberapa orang yang berada di balai mengadap. Lalu seorang daripada kumpulan itu bertanya apakah erti "Siti" sebelum dijawab pedagang Arab, yang Siti adalah gelaran bagi seorang perempuan yang menjadi tuan atau ketua orang ramai.
Terdapat juga sumber sejarah menyatakan beliau turut digelar panggilan Paduka Cik Siti. Buku sejarah Kelantan karangan Arifin Abdul Rashid, terbitan Pustaka Al-Ahliah (1962), Siti bererti tuan (perempuan) yang layak digelarkan kepada perempuan yang mula-mula menjadi pemerintah sesebuah negeri. Dalam usia empat tahun, Cik Siti Wan Kembang kehilangan kasih sayang ayah yang mangkat menyebabkan pucuk pemerintahan Kelantan diambil alih Raja Husin.